Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (PIK), setiap bayi di Malaysia akan menerima suntikan vaksin secara percuma mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM bermula seawal kelahiran sehingga umur 18 bulan.
Sehingga kini, terdapat 10 jenis vaksin secara percuma digunakan di bawah PIK untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin untuk bayi dan kanak-kanak.
Mengapa perlunya program vaksinasi?
- Mencegah penularan penyakit berjangkit berbahaya seperti Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, Difteria, Tetanus, Pertussis (batuk kokol) dan polio
- Meningkatkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan masyarakat.
- Mengurangkan kadar kematian dan kecacatan yang berpunca daripada penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.
Contoh Vaksin dalam Jadual Imunisasi Bayi
Berikut antara vaksin utama yang diberikan kepada bayi dan kanak-kanak:
- BCG – Mencegah penyakit batuk kering (TB)
- Hepatitis B – Melindungi hati daripada jangkitan Hepatitis B
- DTP – Mencegah Difteria, Tetanus dan Pertussis
- Polio – Mencegah lumpuh yang disebabkan oleh virus polio
- Hib – Melawan jangkitan Haemophilus Influenzae Type B
- MMR – Melindungi daripada Campak, Mumps (beguk), dan Rubella
- Pneumokokal – Mencegah jangkitan paru-paru

Semua vaksin yang digunakan adalah berdaftar dan selamat, serta mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Simpan buku rekod kesihatan anak anda dengan baik dan selamat kerana rekod imunisasi ini akan digunakan untuk rujukan semasa pendaftaran ke sekolah rendah.