Views: 71
Perjalanan Persona

Pertimbangan dan Kaunseling
Sekiranya anda dan pasangan sedang mempertimbangkan sama ada untuk berpisah atau berdamai, fasa ini adalah waktu yang penuh emosi dan ketidaktentuan. Ketika ini, sokongan daripada keluarga serta maklumat yang tepat mengenai hak dan pilihan adalah sangat penting. Ketahui maklumat dan perkhidmatan seperti kaunseling, perlindungan dan nasihat guaman yang disediakan oleh pejabat agama atau jabatan kerajaan semasa anda dan pasangan melalui fasa ini.

Memohon Perceraian
Bagi pasangan yang memilih untuk meneruskan perceraian, mereka perlu memahami jenis perceraian yang relevan mengikut situasi, agama serta undang-undang negeri. Pasangan juga perlu mengemukakan dokumen dan tuntutan yang betul mengikut keperluan masing-masing. Perceraian pasangan Islam adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah Negeri dimana pemohon menetap, manakala perceraian pasangan bukan Islam dikendalikan oleh Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan Mahkamah dan Pengesahan Perceraian
Fasa ini merupakan peringkat di mana keputusan untuk bercerai dibawa ke hadapan hakim bagi mendapat pengesahan undang-undang. Pasangan perlu mengemukakan dokumen lengkap, hadir ke sesi perbicaraan, dan menjelaskan sebab-sebab perceraian dan tuntutan berkaitan. Sama ada di Mahkamah Syariah bagi pasangan Islam atau Mahkamah Tinggi bagi pasangan bukan Islam, keputusan hanya akan dimuktamadkan setelah hakim meneliti semua fakta dan bukti yang dikemukakan.

Fasa Selepas Perceraian
Fasa selepas perceraian adalah tempoh penyesuaian semula kehidupan sama ada dari segi emosi, kewangan atau tanggungjawab. Bagi pasangan Islam, terdapat kemungkinan untuk mereka rujuk semula sekiranya perceraian yang berlaku adalah talak satu atau dua. Ketahui proses yang perlu dilakukan sekiranya anda memilih untuk kembali kepada pasangan. Dalam fasa ini juga, bekas pasangan boleh memfailkan tuntutan hak jagaan anak, nafkah serta tuntutan harta sepencarian di mahkamah. Bantuan guaman, kebajikan dan sokongan kewangan juga boleh dimohon bagi pemohon yang layak.