Ibu dan Wanita

Kesihatan

Views: 22

Ibu dan Wanita

  • Kesihatan pra-kehamilan

    Penjagaan kesihatan sebelum hamil adalah penting bagi ibu dan anak yang bakal lahir. Kesihatan pra-kehamilan boleh dicapai dengan intervensi awal, gaya hidup sihat serta pemantauan risiko kesihatan.

    Kesihatan pra kehamilan wanita di bawah KKM

    1. Saringan kesihatan wanita

    Tujuan saringan dijalankan bagi memastikan tahap kesihatan yang optimum untuk hamil dan mengenal pasti risiko kesihatan wanita. 

    Saringan kesihatan termasuk:

      • Pemeriksaan tekanan darah
      • Paras gula 
      • Berat badan
      • Indeks Jisim Badan (BMI)
      • Kesihatan mental
    1. Kaunseling pra kehamilan

    Kaunseling pra kehamilan berkaitan pemakanan, pengambilan asid folik, amalan hidup sihat (elak rokok, alkohol, dadah) dan pengurusan tekanan.

    1. Pengesanan penyakit kronik dan rawatan awal

    Penyakit seperti kencing manis (diabetes), darah tinggi (hipertensi), kurang darah (anemia) dan asma perlu dirawat sebelum kehamilan untuk memastikan tiada komplikasi kehamilan.

    1. Pemberian asid folik

    Pengambilan asid folik sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil dapat mencegah kecacatan tiub saraf pada bayi seperti spina bifida.

    1. Pendidikan kesihatan reproduktif 

    Penerangan tentang sistem reproduktif lelaki dan wanita serta kitaran haid.

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
  • Mendaftar kehamilan

    Jika anda mengesyaki anda hamil dengan tanda-tanda seperti berikut:

    • Lewat atau tidak datang haid
    • Loya atau muntah
    • Lesu
    • Pening kepala 
    • Perubahan emosi

    Anda boleh mengesahkan kehamilan dengan membuat sendiri ujian kehamilan (alat ujian kehamilan boleh didapati di farmasi) atau hadir terus ke klinik kesihatan. 

    Sekiranya anda disahkan hamil, anda disarankan untuk mendaftar kehamilan seawal mungkin di klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran. Pendaftaran awal membolehkan pemantauan berkala terhadap kesihatan ibu dan perkembangan kandungan secara menyeluruh.

    Langkah-langkah mendaftar kehamilan:

    1. Pilih klinik kesihatan terdekat

    Anda boleh pergi ke mana-mana klinik kesihatan yang terdekat.

    1. Pemeriksaan awal

    Antara pemeriksaan awal yang dibuat termasuk:

      • Ujian kehamilan akan dibuat semula (jika belum ada pengesahan klinikal)
      • Bacaan tekanan darah, nadi, tinggi, berat badan dan BMI
      • Ujian air kencing dan darah iaitu HIV, Hepatitis B, sifilis dan hemoglobin.
      • Ujian imbasan ultrabunyi (ultrasound)
      • Pemeriksaan fizikal

    1. Pendaftaran buku rekod kesihatan ibu hamil (Buku Pink)

    Buku ini akan digunakan sepanjang kehamilan dan perlu dibawa ke mana-mana termasuk lawatan susulan ke klinik atau hospital.

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
  • Kesihatan ibu hamil

    Tempoh kehamilan adalah fasa penting dalam kehidupan seorang wanita kerana ia melibatkan perubahan fisiologi yang ketara serta memerlukan penjagaan rapi bagi menjamin kesihatan ibu dan perkembangan bayi yang sihat.

    Perkhidmatan yang disediakan oleh KKM bagi ibu hamil:

    • Pendaftaran awal kehamilan

    Ibu hamil disarankan mendaftar kehamilan di Klinik Kesihatan Kerajaan sebelum usia kandungan 12 minggu.

    • Pemeriksaan antenatal berkala

    Pemantauan tekanan darah, ujian air kencing, berat badan, ujian darah, pemeriksaan fizikal dan perkembangan bayi.

    • Pemberian suplemen

    Asid folik, zat besi, dan multivitamin diberikan secara percuma untuk mencegah anemia dan memastikan tumbesaran bayi yang sihat.

    • Saringan penyakit

    Ujian untuk HIV, hepatitis B, sifilis, kencing manis dan darah tinggi.

    • Vaksinasi

    Suntikan vaksin tetanus dan difteria diberikan bagi melindungi ibu dan bayi daripada jangkitan kancing gigi dan batuk kokol.

    • Pendidikan dan kaunseling

    Pendidikan tentang penyusuan susu ibu, senaman semasa hamil, persediaan bersalin, kelahiran selamat, penjagaan selepas bersalin dan penjagaan bayi.

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
  • Tanda-tanda kelahiran

    Tempoh kehamilan matang adalah usia kandungan antara 37 hingga 40 minggu. Antara tanda-tanda kelahiran adalah:

    • Kontraksi rahim
    • Keluar sedikit lendir bercampur darah dari faraj 
    • Pecah air ketuban

     

    Sekiranya salah satu tanda ini dialami, ibu perlu segera ke hospital untuk kelahiran selamat.

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
  • Kesihatan ibu selepas bersalin

    Penjagaan ibu selepas bersalin adalah fasa kritikal dalam proses pemulihan fizikal dan emosi. Suami perlu memberi sokongan emosi kepada isteri dalam tempoh berpantang bagi mengelakkan isteri kemurungan (postpartum blues). 

    Jururawat akan membuat lawatan ke rumah secara berkala selepas bersalin (penjagaan postnatal). Ibu juga perlu membuat pemeriksaan di klinik kesihatan sebulan selepas bersalin. 

    Antara pemeriksaan kesihatan yang dilakukan adalah: 

    • Bacaan tekanan darah, nadi, tinggi, berat badan & BMI.
    • Ujian air kencing dan hemoglobin
    • Pemeriksaan fizikal

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
  • Penyusuan susu ibu

    Susu ibu merupakan makanan terbaik dan paling sempurna bagi bayi kerana ia mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan fizikal, perkembangan otak, dan pembentukan sistem imun yang kuat.

    Saranan KKM berkaitan penyusuan susu ibu

    • Penyusuan eksklusif 6 bulan pertama

    Bayi hanya diberi susu ibu tanpa sebarang makanan atau minuman tambahan, termasuk air kosong.

    • Penyusuan diteruskan sehingga 2 tahun

    Selepas 6 bulan, makanan pelengkap diperkenalkan secara berperingkat tetapi susu ibu masih diteruskan.

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
  • Saringan mamogram oleh KKM

    Apakah mamogram?

    Mamogram ialah sejenis ujian pengimejan sinar-X ke atas payudara yang digunakan untuk mengesan peringkat awal kanser payudara iaitu sebelum ketulan dirasai. Ia adalah kaedah saringan paling berkesan dan terbukti secara klinikal untuk mengesan kanser payudara pada peringkat awal iaitu sebelum gejala timbul.

    Pemeriksaan klinikal payudara (PKP) di KKM

    Wanita digalakkan menjalankan pemeriksaan klinikal payudara (PKP) di semua fasiliti kesihatan mulai usia 30 tahun dan ke atas. 

    Mereka yang didapati berisiko akan dirujuk ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan mamogram. Bagi wanita yang dikesan abnormal semasa pemeriksaan PKP, mereka akan dirujuk ke klinik pakar bedah untuk siasatan lanjut.

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
Carian pantas
perkhidmatan & maklumat kerajaan
© 2025 Government of Malaysia All Rights Reserved