Bayi dan Kanak-kanak

Kesihatan

Views: 11

Bayi dan Kanak-kanak

  • Kenali Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak

    Setiap bayi yang lahir di Malaysia akan menerima buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak. Buku rekod ini merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau perkembangan, pertumbuhan dan rekod imunisasi bayi dan kanak-kanak sejak lahir hingga usia 6 tahun.

    Tanggungjawab Ibu Bapa

    • Ibu bapa perlu membaca dan memahami maklumat penting mengenai kesihatan anak di dalam buku ini
    • Simpan buku ini dengan baik kerana ia mengandungi rujukan mengenai sejarah kesihatan anak
    • Anda digalakkan untuk berkomunikasi dan berbincang tentang masalah dan status kesihatan anak bersama anggota kesihatan
    • Bawa buku ini setiap kali ke klinik/hospital (kerajaan/swasta)

    Kandungan Buku Rekod Kesihatan

    Antara kandungan utama dalam buku ini termasuk:

    • Maklumat Kelahiran
    • Jadual dan Rekod Imunisasi
    • Carta Pertumbuhan
    • Rekod Pemeriksaan Kesihatan Berkala
    • Panduan pemakanan bayi dan kanak-kanak (m/s 18-20)
    • Penjagaan kesihatan pergigian
    • Panduan keibubapaan dan kesihatan ibu

    Kepentingan buku rekod:

    1. Menyimpan rekod semua maklumat kesihatan anak termasuk berat, tinggi, ukuran lilit kepala, dan perkembangan fizikal serta mental.
    2. Menjadi rujukan penting kepada petugas kesihatan kerajaan dan swasta dalam setiap lawatan susulan.
    3. Memastikan anak menerima imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.
    4. Meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang tahap kesihatan dan perkembangan anak dari semasa ke semasa.
    5. Membantu pengesanan awal terhadap sebarang masalah kesihatan, kelewatan perkembangan, atau penyakit kronik semasa lawatan berkala.

    Jadual Pemeriksaan Bayi dan Kanak-Kanak

    Jadual Pemeriksaan Bayi

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
  • Program imunisasi bayi dan kanak-kanak

    Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (PIK), setiap bayi di Malaysia akan menerima suntikan vaksin secara percuma mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM bermula seawal kelahiran sehingga umur 18 bulan. 

    Sehingga kini, terdapat 10 jenis vaksin secara percuma digunakan di bawah PIK untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin untuk bayi dan kanak-kanak.

    Mengapa perlunya program vaksinasi?

    1. Mencegah penularan penyakit berjangkit berbahaya seperti Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, Difteria, Tetanus, Pertussis (batuk kokol) dan polio
    2. Meningkatkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan masyarakat.
    3. Mengurangkan kadar kematian dan kecacatan yang berpunca daripada penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

    Contoh Vaksin dalam Jadual Imunisasi Bayi

    Berikut antara vaksin utama yang diberikan kepada bayi dan kanak-kanak:

    • BCG – Mencegah penyakit batuk kering (TB)
    • Hepatitis B – Melindungi hati daripada jangkitan Hepatitis B
    • DTP – Mencegah Difteria, Tetanus dan Pertussis
    • Polio – Mencegah lumpuh yang disebabkan oleh virus polio
    • Hib – Melawan jangkitan Haemophilus Influenzae Type B
    • MMR – Melindungi daripada Campak, Mumps (beguk), dan Rubella
    • Pneumokokal – Mencegah jangkitan paru-paru

    Jadual Imunisasi Kebangsaan

    Semua vaksin yang digunakan adalah berdaftar dan selamat, serta mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). 

    Simpan buku rekod kesihatan anak anda dengan baik dan selamat kerana rekod imunisasi ini akan digunakan untuk rujukan semasa pendaftaran ke sekolah rendah.

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
  • Kesihatan Kanak-kanak berkeperluan khas (OKU)

    Kanak-kanak berkeperluan khas merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami kelainan dari segi fizikal, deria, intelektual, pembelajaran, tingkah laku atau emosi, yang memerlukan sokongan dan intervensi khas untuk mencapai perkembangan optimum.

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui fasiliti kesihatan primer dan pakar memberi fokus kepada pengesanan awal, intervensi awal dan sokongan berterusan bagi membantu golongan ini membesar dalam persekitaran yang menyokong perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh.


    Bawa anak anda klinik berhampiran sekiranya berlaku kelewatan perkembangan.

    Jenis keperluan khas yang biasa dikenal pasti

    • Autisme (ASD)

    • Cerebral Palsy

    • Sindrom Down

    • Masalah Pembelajaran Spesifik (seperti disleksia)

    • Kecacatan pendengaran atau penglihatan

    • Kelewatan perkembangan global

    Perkhidmatan disediakan oleh KKM

    • Saringan perkembangan di Klinik Kesihatan

    • Program Intervensi Awal untuk bayi dan kanak-kanak berisiko

    • Rujukan kepada pakar perubatan seperti pakar perubatan keluarga, pakar pediatrik, terapi carakerja, fisioterapi, terapi pertuturan dan sebagainya.

    • Kaunseling dan bimbingan kepada ibu bapa dan penjaga

    • Pendidikan kesihatan dan latihan keibubapaan

    • Pemeriksaan dan rawatan pergigian

    Rujukan: Portal MyHealth

    Tarikh dikemaskini: 5/7/2025

    Komen topik ini
  • Kesihatan Sekolah untuk Murid Pra-Sekolah

    Program Kesihatan Sekolah merupakan inisiatif kolaborasi antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang meliputi murid dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah. Bagi murid prasekolah, program ini memberi penekanan kepada pengesanan awal masalah kesihatan, promosi amalan gaya hidup sihat, dan pendidikan kesihatan asas yang sesuai dengan peringkat umur mereka.

    Perkhidmatan kesihatan untuk murid pra-sekolah:

    • Pemeriksaan kesihatan asas: tinggi, berat, penglihatan, pendengaran
    • Perkhidmatan kesihatan pergigian termasuk pemeriksaan pergigian, pendidikan kesihatan pergigian dan rawatan pencegahan

    • Pemberian ubat cacing (di kawasan tertentu)
    • Pendidikan kesihatan interaktif: cuci tangan, kebersihan diri, pemakanan sihat

    Tarikh dikemaskini: 5/7/2025

    Komen topik ini
  • Kesihatan Sekolah bagi Murid Sekolah Rendah

    Sebagai salah satu inisiatif bagi memastikan kesihatan murid berada pada tahap optimum, pemeriksaan kesihatan di sekolah mengikut beberapa fasa umur dijalankan oleh Pasukan Kesihatan Sekolah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.   

    Berikut merupakan perkhidmatan yang dijalankan:

    • Murid Tahun 1
      • Pendidikan kesihatan
      • Pemeriksaan fizikal dan saringan penglihatan
      • Pemeriksaan pergigian
      • Imunisasi dos tambahan bagi mencegah penyakit-penyakit:
        • Difteria
        • Kancing Gigi
    Jadual Imunisasi Kebangsaan

    • Murid Tahun 3

    Murid Tahun 3 yang disyaki mempunyai masalah pembelajaran oleh guru sekolah akan dirujuk kepada pakar/pegawai perubatan  bagi mengesahkan status ketidakupayaan pembelajaran murid. 

    • Murid Tahun 6

    Selain daripada pemeriksaan fizikal, saringan skoliosis merupakan antara saringan utama yang dijalankan kepada murid Tahun 6.

    Tarikh dikemaskini: 4/7/2025

    Komen topik ini
Carian pantas
perkhidmatan & maklumat kerajaan
© 2025 Government of Malaysia All Rights Reserved